Saturday, 18 January 2020

Kesatuan Sekerja : Pengenalan dan latar belakang


Majikan dan pekerja merupakan elemen terpenting di dalam sesebuah organisasi bagi memastikan organisasi mencapai matlamat utama mereka. Kerjasama yang baik di antara pihak pengurusan dengan para pekerja adalah salah satu tindakan yang membolehkan organisasi mentadbir dan merangka strategi organisasi untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Hubungan antara pihak pengurusan atau “…majikan ini dengan para pekerja dalam persekitaran kerja ini boleh dikatakan sebagai perhubungan perindustrian” seperti mana yang telah dinyatakan di dalam Kertas Kerja Pengurusan Sumber Kemanusiaan (MTT 2703) (_____, n.d.).
Amir Hamzah Abdul dan Saadon Awang (2009: 2) menyatakan bahawa “…hubungan industri juga melibatkan interaksi di antara majikan dan pihak pekerja di dalam sistem hubungan khusus untuk membincangkan tentang hubungan antara majikan dan pekerja, berbincang mengenai pekerjaan dan faedah-faedah pekerjaan di tempat kerja”. Hubungan industri didefinisikan oleh Maimunah Aminuddin sebagai “…bidang kajian yang tidak dapat dipisahkan daripada penglibatan kesatuan sekerja”, (Amir Hamzah Abdul dan Saadon Awang, 2009: 3-4). Hubungan industri juga dikenali sebagai perhubungan perusahaan di mana ia merujuk kepada “…perhubungan di antara pekerja dengan majikan serta faktor, masalah dan isu yang mempengaruhi perhubungan tersebut dalam organisasi”, (Zafir Mohd Makhbul dan Fazilah Mohamad Hasun, 2011: 278).
Perhubungan perusahaan yang diamalkan di Malaysia adalah “…merujuk kepada hubungan antara majikan, pekerja yang diwakili oleh kesatuan dan pihak kerajaan”, (Zafir Mohd Makhbul dan Fazilah Mohamad Hasun, 2011: 279).
Kesatuan sekerja didefinisikan oleh K. Rajkumar (2001: 137) sebagai “…manamana persatuan atau gabungan kakitangan atau majikan dalam sesuatu pertubuhan, perniagaan, pekerjaan atau industri tertentu, atau dalam sesuatu perniagaan, pekerjaan atau industri yang sama; sama ada secara sementara atau tetap”. Selain itu juga, kesatuan sekerja menurut K. Rajkumar (2001: 137-138), mempunyai satu atau lebih daripada perkara berikut:
i.                    Peraturan dalam hubungan di antara kakitangan dan majikan;
ii.                  Peraturan dalam hubungan di antara kakitangan dan kakitangan, atau di antara majikan dengan majikan;
iii.                Pengaduan oleh sama ada kakitangan atau majikan dalam pertikaian kerja;
iv.                Kaitan dengan pertikaian kerja atau perkara berkaitan;
v.                  Sokongan, penubuhan atau pembiayaan mogok dan pembekuan dalam mana-mana perniagaan atau industri atau peruntukan gaji atau imbuhan-imbuhan lain untuk ahli-ahlinya semasa mogok atau pembekuan berkenaan.
Selain itu, kesatuan sekerja di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959 ditafsirkan sebagai “…apa-apa pertubuhan atau gabungan orang-orang kerja atau majikan-majikan, iaitu orang-orang kerja di mana tempat pekerjaan mereka adalah di Malaysia Barat, Sabah atau Sarawak, mengikut mana yang berkenaan, atau majikan-majikan yang mengambil kerja orang-orang kerja di Malaysia Barat, Sabah atau Sarawak, mengikut mana yang berkenaan:
a) dalam mana-mana penubuhan, tred, pekerjaan atau industri yang tertentu atau dalam apa-apa tred, pekerjaan atau industri yang serupa; dan
b) sama ada secara sementara atau tetap; dan c) yang mempunyai di antara tujuan-tujuannya satu atau lebih daripada tujuan-tujuan yang berikut:
i. peraturan perhubungan di antara orang-orang kerja dengan majikan-majikan, bagi maksud menggalakkan perhubungan perusahaan yang baik dan harmoni di antara orang-orang kerja dan majikan-majikan, memperbaiki syarat-syarat pekerjaan orang-orang kerja atau memperbaiki status ekonomi dan sosial mereka, atau meningkatkan produktiviti; ia. peraturan perhubungan di antara orang-orang kerja dan orangorang kerja, atau di antara majikan-majikan dan majikan-majikan;
ii. perwakilan sama ada orang-orang kerja atau majikan-majikan dalam pertikaian-pertikaian tred; a. menjalankan, atau menguruskan dengan, pertikaian-pertikaian tred dan perkara-perkara yang berhubungan dengannya; atau
iii. menggalakkan atau mengaturkan atau membiayai mogok atau tutup-pintu dalam mana-mana tred atau industri atau peruntukan gaji atau faedah-faedah lain bagi ahli-ahlinya semasa suatu mogok atau tutup-pintu; (International Law Book Services, 2011: 7-8)
Kesatuan sekerja menurut Zafir Mohd Makhbul dan Fazilah Mohamad Hasun (2011: 282) adalah “…bentuk pertubuhan yang bertujuan untuk menjaga kebajikan dan memperbaiki kualiti pekerja dalam organisasi”. Snell dan Bohlander pula mentafsirkan kesatuan sekerja sebagai “…pertubuhan yang mewakili pekerja yang berkemahiran, separuh mahir dan tidak mahir berhubung dengan isu-isu pekerjaan”, (Zafir Mohd Makhbul dan Fazilah Mohamad Hasun, 2011: 282).
Kesatuan sekerja juga didefinisikan sebagai “…satu persatuan pekerja yang bekerjasama untuk memperbaiki keadaan kerja mereka” seperti yang dinyatakan oleh Maimunah Aminuddin (Zafir Mohd Makhbul dan Fazilah Mohamad Hasun, 2011: 282).  Umumnya, objektif penubuhan sesebuah kesatuan sekerja adalah
1.      untuk melindungi ahli-ahlinya dari segi keselamatan dan meningkatkan status ekonomi dan standard kehidupan.
2.      untuk menjamin keselamatan ahli-ahli kesan daripada ancaman yang terhasil daripada perubahan teknologi, keadaan pasaran yang tidak menentu dan keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan.
3.      untuk mempertingkatkan kebajikan pekerja sama ada ianya ahli kesatuan atau tidak. membantu pekerja mengadakan perundingan dengan pihak majikan
4.      untuk menentukan ahli-ahli kesatuan mendapatkan hak-hak yang sepatutnya diperolehi dengan penuh keadilan. (Zafir Mohd Makhbul dan Fazilah Mohamad Hasun, 2011: 283).

Kesatuan sekerja menurut Amir Hamzah Abdul dan Saadon Awang (2009:2) “…boleh mewakili kedua-dua pihak dalam sistem hubungan industri, iaitu kesatuan sekerja pekerja dan kesatuan sekerja majikan”. Pekerja dan majikan di Malaysia adalah “…bebas menubuhkan pertubuhan mengikut:
1.      Artikel 10(1) (c) Perlembagaan Malaysia
2.      Konvensyen ILO No.98
3.      Seksyen 8 dan 9 Akta Kesatuan Sekerja 1959
4.      Sesebuah Kesatuan sekerja perlu didaftarkan bagi membolehkannya menikmati keistimewaan sebagai sebuah kesatuan sekerja yang sah (Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, 2011).

1 comment:

  1. If you're trying to burn fat then you need to start following this brand new personalized keto diet.

    To design this service, certified nutritionists, personal trainers, and professional cooks united to produce keto meal plans that are efficient, convenient, economically-efficient, and fun.

    From their first launch in early 2019, 1000's of individuals have already remodeled their figure and well-being with the benefits a great keto diet can offer.

    Speaking of benefits: in this link, you'll discover eight scientifically-tested ones offered by the keto diet.

    ReplyDelete