Monday, 24 March 2014

DEFINISI KEPIMPINAN

Kepimpinan boleh ditakrifkan dalam pelbagai aspek yang berbeza. Pertama, kepimpinan perlu melibatkan orang lain. Dalam erti kata lain, subordinat atau pengikut. Ini berikutan kesediaan subordinat menerima arahan daripada pemimpin, para kumpulan membantu dalam mewujudkan status pemimpin dan menjadikan proses kepimpinan dapat diwujudkan. Kedua, kepimpinan juga akan melibatkan pembahagian kuasa yang tidak sama di kalangan para pemimpin dan juga anggota kumpulan. Ini bermaksud bahawa pemimpin mempunyai autoriti untuk mengarah anggota kumpulannya. Ketiga, kepimpinan boleh didefinisikan dalam pendidikan sebagai keupayaan mempengaruhi, memotivasikan, mengubah sikap dan tingkah laku subordinat supaya melaksanakan program yang ditetapkan bagi mencapai matlamat.[1]
Peranan kepimpinan ialah memberi orientasi kepada sesebuah organisasi dan cuba memepengaruhi pandangan masyarakat. Kepimpinan sebenarnya berdasarkan kepada tiga faktor, iatu personaliti pemimpin, tabii kelompok dan para anggota yang dipimpin dan peristiwa seperti perubahan atau masalah yang dihadapi oleh kelompok.[2]
Dalam kehidupan bermasyarakat, misalnya dalam sekelompok sosial terdapat seorang dari anggota kelompok yang akan dilantik sebagai ketua dan kepadanya diberikan tanggungjawab secara tidak langsung untuk menyusun atur kelompok berkenaan. Asas pemilihan seorang ketua adalah terhadap individu yang dianggap mempunyai kelebihan yang jauh lebih berbanding dengan anggota lain dalam kelompok itu. Ketua yang dilantik itu dipilih dan secara universal mempunyai ciri-ciri tertentu seperti umur, kedudukan ekonomi yang mantap, dan berketurunan dari keluarga yang disegani. Ketua dalam komuniti kelompok sosial dikenali sebagai pemimpin yang secara umumnya merujuk kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mempengaruhi perlakuan orang lain melalui pemikiran, kedudukan, perkataan dan tindakan.[3]
Menurut Weber, terdapat tiga Model Autoriti iatu aoutoriti tradisi, auto karismatik dan autoriti perudangan atau Legal-rasional.[4]
Autoriti tradisi adalah berdasarkan kepada kepercayaan yang amat sukar diubah kerana ia sudah tertanam sekian lama. Ia adalah kepercayaan yang membudaya dari tradisi lama tentang kesahihan kedudukan mereka yang tetap atau kekal berada di bawah satu autoriti tradisi. Autoriti hanya diberikan kepada ketua yang berada di hierarki tertinggi yang diturunkan secara tradisi dan diikat pula oleh tradisi tersebut, contohnya ialah raja atau sultan.
Autoriti karismatik pula berasaskan kepada kurniaan yang khusus dan luar biasa. Individu yang memiliki autoriti ini dipatuhi kerana kepercayaan terhadap keperibadian, pemikiran, tindakan dan ciri teladannya termasuk ruang lingkup kepercayaan mengenai karisma. Seseorang pemimpin boleh dianggap berkarsima sekiranya beliau memiliki ciri-ciri keupayaan yang membezakan dirinya daripada orang lain atau ia wujud dalam imaginasi pengikutnya sahaja. Pemimpin perlu benar-benar menunjukkan kemampuannya sebagai seorang pemimpin yang benar-benar berkeupayaan untuk membolehkannya mengekalkan kuasanya.
Sementara autoriti perundangan atau autoriti legal-rasional sangat bergantung kepada keabsahan terhadap pola dan peraturan normative dan hak bagi mereka yang memperolehi autoriti berkenaan untuk melaksanakan kuasanya. Kepatuhan terhadap autoriti ini diikat oleh garis panduan yang tidak diasaskan oleh perasaan peribadi dan ia hanya boleh diamalkan oleh individu atau kumpulan yang menduduki atau memegang suatu jawatan. Autoriti jenis ini adalah asas bagi setiap individu yang dilantik menjadi pemimpin secara konstitusi.




[1] Dr. Baharom Mohamad, Dr. Mohamad Johdi Salleh (2009). Kepimpinan Pendidikan dalam Pembangunan Modal Insan. Prosiding “Seminar Pembangunan Modal Insan 2009”, 23-24 Mac 2009. Pusat Sumber Pendidikan Negeri, Pengkalan Chepa, Kota Bharu Kelantan.
[2] Jamaie Haji Hamil (2003). Kepimpinan Politik: Pola Kepimpinan Politik UMNO. Akademika 62 (Januari). Ms 17-39.
[3] Shamsul Amri B. (1990). Kepimpinan Melayu: Jenis,Pola dan Peranan. Masyarakat Malaysia Yang Membangun. Hlm 100-110. Kuala Lumpur: DBP.
[4] Weber, M. (1968). Ed.S.N. Eisenstadt. On Charisma And Institution Building. London:University of Chicago.




No comments:

Post a Comment