Monday 14 November 2016

MENGAPA PERLU ADANYA PENGASINGAN KUASA KERAJAAN?

2.1 Mengelakkan pertindihan bidang kuasa iaitu pihak yang sama tidak terlibat dalam pengurusan lebih daripada satu kuasa.
            Secara logiknya, dalam konsep pemerintahan sesebuah negara terdapat badan-badan tertentu bertanggungjawab melaksanakan hal-hal berkaitan bidangnya sahaja. Tidak mampu, malah akan menyebabkan timbulnya kelemahan tertentu dalam pentadbiran sesuatu badan sekiranya mempunyai bidang kuasa yang terlalu banyak. Contohnya badan Eksekutif tidak boleh mencampuri bidang yang diuruskan oleh badan perundangan ini adalah kerana badan perundangan bertanggungjawab dalam pembentukan sistem undang-undang negara manakala badan Eksekutif menguruskan hal-hal berkaitan dengan pentadbiran di peringkat persekutuan atau negeri dengan erti kata lain mempunyai bidang kuasa memerintah sahaja.
Dalam badan Eksekutif juga terdapat pembahagian kuasa antara pentadbiran di peringkat persekutuan dan negeri. Sekiranya tidak berlaku pengasingan kuasa antara kedua-dua pentadbiran ini, mana mungkin kerajaan dapat menjalankan pentadbiran sesebuah negeri kerana tidak semua negeri diperintah oleh parti kerajaan, terdapat juga parti pembangkang yang menang dalam pilihanraya di peringkat negeri akan memerintah negeri tersebut. contohnya kerajaan negeri Kedah yang diperintah oleh Parti Islam Semalaysia (PAS) setelah menang dalam pilihanraya umum 2008, parti yang memerintah ini boleh merancang dasar untuk negeri tersebut asalkan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
            Sekiranya badan-badan ini diletakkan dibawah satu pengurusan kemungkinan akan berlaku masalah-masalah tertentu yang melibatkan kepentingan di sebelah pihak sahaja. Malaysia diperintah oleh parti yang menang majoriti selepas pilihan raya, badan eksekutif di peringkat persekutuan dan negeri tidak boleh mencampuri urusan badan perundangan dan kehakiman, bidang-bidang ini memerlukan kepakaran ahli-ahli dalam memastikan setiap undang-undang yang digubal dan dilasanakan berkesan. Badan eksekutif hanya berkemampuan dalam memutuskan dan merumuskan dasar serta memastikan agensi, jabatan yang dikhaskan melaksanakan tanggungjawab dalam bidang masing-masing.
            Begitu juga dengan Badan Kehakiman yang hanya bertanggungjawab dalam soal memberi keadilan, menyemak undang-undang, memastikan undang-undang tidak bercanggah dengan perlembagaan persekutuan dan boleh membatalkan tindakan parti pemerintah yang bercanggah dengan perlembagaan persekutuan atau negeri. Badan ini tidak boleh sama sekali disatukan kuasanya dengan badan eksekutif, tetapi ianya sedikit sebanyak berkait rapat dengan badan perundangan.
  2.2 Mengelakkan penyalahgunaan kuasa akibat pemusatan kuasa pada sesebuah badan tertentu.
            Sekiranya kuasa pentadbiran badan Eksekutif, Legislatif dan Judisiari dipusatkan dalam satu badan sajaha kemungkinan akan berlaku penyelewengan atau penyalahgunaan sehingga boleh menyebabkan undang-undang hanya memihak dan menguntungkan pihak pemerintah disamping kemungkinan akan berlakunya penindasan terhadap rakyat. Contohnya dalam badan Eksekutif, kuasa Perdana Menteri atau kabinet merangka dasar kerajaan serta memberikan arahan kepada jentera pentadbiran kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri selain memberi nasihat kepada YDPA serta membincangkan masalah-masalah semasa yang wujud dalam pemerintahan manakala bagi Legislatif adalah kuasa bagi parlimen dalam proses penggubalan undang-undang yang mana melibatkan Jabatan Peguam Negara, sekiranya Perdana Menteri atau menteri-menteri yang berkuasa dalam proses penggubalan undang-undang semestinya akan berlaku masalah seperti penyalahgunaan kuasa yang boleh merosakkan institusi pentadbiran negara kita.
            Begitu juga dengan badan Kehakiman yang mana perlantikan hakim-hakim mahkamah persekutuan atau mahkamah tinggi dilantik oleh YDPA dengan nasihat Perdana Menteri atas nasihat Majlis Raja-Raja namun Perdana Menteri perlu meminta fikiran Ketua Hakim Negara. Jesteru itu, hakim-hakim ini hanya bertanggungjawab untuk berlaku adil dalam perbicaraan di mahkamah. Selain itu, terdapat Etika Hakim 1994 bertujuan memastikan hakim-hakim berkelakuan jujur dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas-tugasnya. (Mohd Syariefudin Abdullah, Mohamad Kamal Kamaruddin, Ahmad Sohaimi Lazim, 2009). Dengan ini, Doktrin Pengasingan Kuasa dapat mengurangkan masalah-masalah seperti penyalahgunaan kuasa kerana Eksekutif tidak mempunyai kuasa dalam badan Legislatif begitu juga dengan badan Judisiari.

2.3 Membolehkan setiap badan bertindak tanpa diganggu atau dipengaruhi oleh badan yang lain. Secara tidak langsung membolehkan setiap badan berfungsi dengan lebih efisyen.
            Keberkesanan dalam pembahagian kuasa-kuasa pentadbiran berlandaskan Doktrin Pengasingan Kuasa secara tak langsung dapat memudahkan badan-badan seperti Eksekutif, Legislatif dan Judisiari menjalankan tanggungjawab masing-masing. Selain itu, tidak akan berlaku campur tangan secara langsung dalam bidang kuasa antara satu sama lain disamping dapat mengukuhkan pemerintahan negara dengan dasar-dasar yang dilaksanakan di setiap peringkat badan-badan berkenaan. Badan Pemerintah iaitu Eksekutif sama ada di peringkat persekutuan atau negeri mempunyai bidang kuasa memerintah, badan ini bertanggungjawab menjalankan urusan-urusan pemerintahan dan pentadbiran dan tidak melibatkan diri dalam urusan dan hal ehwal kehakiman mahupun perundangan. Bab ini mempunyai penjawat-penjawat awam yang tertentu di kedua-dua peringkat iaitu persekutuan dan negeri. Selain itu badan ini hanya berperanan melaksanakan undang-undang yang telah diluluskan oleh Badan Perundangan sama ada oleh Parlimen (di peringkat persekutuan) atau Dewan Undangan Negeri (di peringkat negeri). (Mohd Syariefudin Abdullah, Mohamad Kamal Kamaruddin, Ahmad Sohaimi Lazim, 2009).
            Legislatif pula hanya berfungsi menggubal, meminda dan meluluskan undang-undang. Undang-undang dan peraturan ini akan dijadikan panduan badan Eksekutif sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri untuk menjalankan pentadbiran negara. Bagi badan Kehakiman atau Judisiari pula, hanya bertanggungjawab dalam soal kehakiman yang mana hanya berperanan sebagai pelindung hak-hak asasi manusia daripada sebarang pencabulan sama ada oleh orang perseorangan atau pihak kerajaan. (Mohd Syariefudin Abdullah, Mohamad Kamal Kamaruddin, Ahmad Sohaimi Lazim, 2009). Bagi menjamin badan Eksekutif tidak menyalahgunakan kuasa dengan menggubal undang-undang sesuka hati, dengan ini telah menjadi tanggungjawab Badan Kehakiman mengawasi supaya undang-undang tersebut tidak bertentangan dengan peruntukan dalam bahagian 6 bab 1 Perlembagaan Persekutuan.

            Bidang kuasa yang berlainan antara ketiga-tiga badan ini menjalankan kuasa pentadbirannya dengan cekap dan berkesan sekiranya tidak berlaku campurtangan badan lain khususnya antara badan Eksekutif dan badan kehakiman dalam pentadbiran sesebuah negara. 

DOKTRIN PENGASINGAN KUASA : PENGENALAN

Pembahagian Kuasa atau dalam bahasa Inggeris dipanggil "Separation of Powers" merupakan satu doktrin dalam pemerintahan demokrasi yang membahagikan urusan dalam negara kepada tiga cabang utama : Pemerintah (Eksekutif), Perundangan (Legislatif) dan Kehakiman.
            Ia untuk mengelak atau menghindari bahaya “kezaliman” (tyranny), di mana dikatakan doktrin pembahagian kuasa (atau fungsi) dapat mewujud dan mengekalkan kepimpinan, kebebasan sebenar dan menghindari kemaharajalelaan (despotisma) dengan cara membahagi-bahagikan kuasa untuk mewujudkan semak dan seimbang (check and balance) antara kuasa tersebut.
            Konsep Pembahagian Kuasa (juga lebih dikenali sebagai Konsep Pengasingan Kuasa) bermula sejak zaman Yunani lama. Aristotle berminat dengan kerajaan gabungan berkomposisi monarki, aristokrasi, dan demokrasi, melihatkan setiap elemen secara sendirinya tidak mampu menjalankan operasi kerajaaan secara sendirian, tetapi campuran ketiga-tiga elemen mengambil aspek terbaik dari elemen masing-masing. Pada 1656, James Harrington dalam bukunya Oceana, telah mengemaskinikan idea tersebut dan mencadangkan sistem berdasarkan konsep ini. John Locke, dalam "Civil Government, second treatise" pada 1690, telah membahagikan kuasa kerajaan kepada dua iaitu eksekutif dan legislatif. Manakala, Montesquieu dalam karyanya "Spirit of the Laws" telah mengembangkan idea Locke, dengan menambahkan cabang kehakiman. Dikatakan orang Inggeris mewujudkan kaedah sebenar pembahagian kuasa ini dengan lebih formal, yang mereka gelar sebagai “Instrumen Kerajaan”.
            Di bawah pembahagian kuasa, kerajaan dipecah kepada tiga cabang, iaitu Badan Legislatif atau penggubal undang-undang, Badan Eksekutif atau pentadbir kerajaan berdasarkan undang-undang dan Badan Kehakiman atau pelaksana undang-undang
            Cabang-cabang ini mempunyai peranan yang berbeza tetapi saling bergantung antara satu cabang dengan lain. Misalnya hakim dilantik oleh ketua Eksekutif, manakala undang-undang yang berpunca dari cabang legislatif akan digunakan oleh badan kehakiman untuk membuat keputusan, manakala pihak eksekutif pula akan menguatkuasakan undang-undang tersebut.
            Doktrin ini juga diperteguhkan lagi dengan elemen semak dan seimbang iaitu setiap badan mempunyai kuasa yang terhad dan boleh memeriksa serta menghadkan kuasa badan yang lain. Oleh itu, seorang Hakim walaupun dilantik oleh ketua Eksekutif boleh menjatuhkan hukuman undang-undang kepada ketua eksekutif tersebut kerana badan kehakiman mempunyai kebebasan kehakiman dan para hakim dilindungi oleh kekebalan kehakiman. Sekiranya elemen ini tiada, maka pembahagian kuasa sekadar nama sahaja. Doktrin pembahagian kuasa amat nyata di negara Amerika Syarikat. Di sana setiap badan saling memeriksa penyalahgunaan kuasa satu sama lain. Malah, setiap badan mempunyai elemen semak dan seimbangnya masing-masing. Misalnya polis boleh disoal siasat oleh satu badan bebas yang lain. Disamping itu, badan legislatif di kebanyakan negara adalah dwidewan misalnya di Malaysia yang mempunyai dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Dua dewan ini adalah penting untuk memastikan semak dan seimbang dilaksanakan dalam penggubalan undang-undang.

            Sistem Semak dan Seimbang merupakan satu elemen demokrasi di mana setiap cabang kerajaan diberi kuasa untuk menghadkan cabang kerajaan yang lain. Secara teorinya melalui sistem ini, tiada suatu cabang boleh mempunyai kuasa yang mutlak dalam pentadbiran sesebuah negara. Setiap cabang berkuasa untuk “menyemak” cabang-cabang yang lain untuk memastikan kuasa diagihkan secara seimbang dan samarata diantara ketiga-tiga cabang iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman

Wednesday 20 January 2016

Sekolah Vernakular : Tembok pemisah Perpaduan dan Integrasi


Berdasarkan sejarah, Malaysia adalah sebuah negara yang berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu atau Malay Polity. Perlu diingat, sejarah sistem kenegaraan Melayu bermula dengan perkataan ‘Melayu’ atau ‘Tanah Melayu’ itu sendiri yang bermaksud wilayah dan kepulauan di rantau ini. Nama-nama ini terkenal di kalangan negeri China, India dan Barat seperti Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma-LiYu-R (Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis)  (Suntharalingam & Ismail, 1985).
Kedatangan penjajah British telah merubah peta politik Tanah Melayu. Kalau dahulu, hubungan antara China dan Tanah Melayu hanya melibatkan perdagangan dua hala sahaja, tanpa penghijrahan secara besar-besaran, namun, setelah penjajahan berlaku, maka bermulalah episod kemajmukan masyarakat di negara ini. Ini bermakna, masyarakat majmuk di negara ini bukanlah muncul secara semula jadi seperti didakwa oleh sesetengah pihak. Negara ini ada penghuni asalnya. Sebelum tahun 1910, kemasukan orang asing semakin bertambah tanpa had telah mengejutkan sultan negeri-negeri Melayu Bersekutu. Mereka memaksa British menghalangnya. Tetapi keperluan pekerja yang mendesak dalam bidang perlombongan dan perladangan menjadikan kemasukan mereka tidak boleh dihalang lagi. Setiap tahun ribuan pendatang Cina dan India tiba di Tanah Melayu. Sehingga tahun 1931, apabila bancian dibuat, jumlah orang-orang bukan Melayu telah melebihi bilangan orang-orang Melayu di negeri mereka sendiri (Comber, 2007).
Politik Malaysia sejak dari awal lagi, melalui penjajahan demi penjajahan dan kemasukan imigran, adalah bersifat perkauman (komunalisme). (Dahana, 2002) menyatakan politik komunalisme begitu kaku sehinggakan kehidupan politik dibentuk mengikut garisan etnik. Selain daripada dasar ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan oleh British, sikap lunak orang Melayu terhadap orang lain dan kepandaian orang lain mengekspoitasikan orang Melayu turut menyumbang kepada masalah kaum sehingga ke hari ini. Dengan kebijaksanaan penjajah dan imigran ini juga, negara ini diberikan kemerdekaan dengan bersyarat iaitu mereka mesti sanggup berkongsi kuasa dan ekonomi (Sik, 1995).
Pendidikan formal amat penting dalam proses sosialisasi. Sarjana tempatan, (Rahim, 2007) turut bersependapat bahawa sosialisasi politik ialah bagaimana kita menerima norma dan nilai dan pengalaman politik dalam kehidupan kita. Adakalanya sosialisasi politik dipengaruhi oleh ibu bapa dan ahli keluarga kita dalam bentuk menerima atau menolak sesuatu parti politik.  Pendidikan formal akan membezakan antara orang yang mempunyai ilmu dengan orang yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan. Sekolah berperanan untuk menanamkan kepercayaan politik secara formal melalui perancangan secara sedar dan secara tidak formal melalui pengalaman. Bagi pelajar yang mempunyai perbezaan latar belakang politik dan sosial, sekolah boleh mensosialisasikan mereka semula mengikut kumpulan yang sama sehingga melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi (Langton, 1969). Bagi pandangan Ahmad Fawzi ( 1987), institusi pendidikan merupakan pendekatan yang paling sesuai dan berkesan untuk menghasilkan integrasi nasional pendidikan Kebangsaan dengan jelas menyatakan integrasi nasional adalah matlamat utama sistem pendidikan kebangsaan. Matlamat integrasi melalui pendidikan telah mula difokuskan sejak Laporan Razak 1956.
Dalam membentuk bangsa Malaysia melalui sistem pendidikan dan bahasa pengantar yang sama, pihak kerajaan mestilah berani dalam membuat keputusan berkaitan dengannya. Beliau percaya 90 peratus rakyat akan patuh dan mengikutinya. Untuk membentuk bangsa Malaysia, tidak perlu banyak aliran dalam pendidikan. Satu masa dulu kita ada satu sistem aliran. Satu sistem yang baik. Satu kesalahan besar yang kita buat, ialah tukar sistem, tukar bahasa pengantar di sekolah. Inilah kesilapan besar yang telah berlaku. Beliau memberi contoh negara India. Tidak ada sekolah Tamil. Semua sekolah menggunakan Bahasa Inggeris. Tetapi bahasa Tamil dibenarkan untuk dipelajari. Hasilnya, India telah muncul sebagai negara dunia ketiga hebat, walaupun ia negara yang paling miskin (Abdullah M. R., 2010).
kajian yang dilakukan oleh sekumpulan pensyarah di Universiti Utara Malaysia terhadap pelajar-pelajarnya yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India membuktikan pernyataan di atas. Kebanyakan pelajar-pelajar mempunyai sentimen perkauman yang tinggi. Polarisasi di alam kampus amat membimbangkan. Para pelajar lebih suka bergaul dengan kaum sendiri dalam segala hal. Semua ini berlaku disebabkan oleh proses sosialisasi yang dilalui sebelum memasuki alam kampus (Noor, Azizi, & Lee, 2006).
Integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah daripada segi budaya, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. Manakala, perpaduan pula boleh diertikan sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air (Baharuddin, 2007). Jika digabungkan kedua-dua perkataan ini, integrasi perpaduan bermaksud mewujudkan satu masyarakat bersatu padu dengan satu identiti nasional. Kerjasama ini boleh dibentuk melalui integrasi wilayah, ekonomi, kebudayaan, sosial, pendidikan dan politik. Dalam konteks politik di Malaysia, integrasi dan perpaduan tidak banyak melibatkan unsur-unsur asimilasi tetapi lebih mirip kepada integrasi, akomodasi dan akulturasi (Abdullah M. R., 2010).
Kesan daripada kurangnya integrasi, maka sikap Prejudis dan stereotaip terhadap kumpulan etnik lain akan terus wujud dalam masyarakat Malaysia. Prasangka juga berlaku akibat konflik sosial di antara individu untuk membenarkan penindasan kumpulan minoriti. Mengambil idea Karl Marx (Ashley dan Orenstein, 2001) ,prasangka terhadap kumpulan minoriti boleh difahami sebagai melayani kepentingan kelas kapitalis (bourgeasie) iaitu untuk membolehkan pekerja kumpulan minority menerima baik rendah upah dan keadaan kerja yang buruk. Selain itu pihak kapitalis mewujudkan sikap prasangka sebagai sarana untuk mengawal pekerja sehingga mereka cenderung menjadi terancang . Ini bermakna golongan kelas atasan dapat mempertahankan eksploitasi dan penindasan ke atas kaum bukan kulit putih dalam zaman penjajahan, perhambaan dan imperialisme (Macionis , 1998: 220) Menurut Simpson dan Yinger (1985: 107-108) pula, budaya prejudis adalah bersifat konservatif dan akan berterusan dari masa ke masa seperti juga dengan sikap, nilai-nilai dan keyakinan. Generasi akan datang akan belajar tentang prejudis dengan cara yang sama dan akan menggunakan alasan yang sama bahawa mereka belajar dari pengalaman orang dan budaya sebelumnya. Ini bermaksud kita mengamalkan sikap prejudis dan perkauman melalui warisan budaya dan dilangsungkan pula dengan idea-idea stereotaip dan emosi . Apabila kita sudah beranggapan bahawa prejudis itu merupakan sebahagian daripada warisan budaya, maka seseorang individu akan sentiasa berfikir dan bersikap negatif terhadap kumpulan lain sebagai rutin sosialisasi yang akhirnya sampai ke tahap rasis.
McLemore (1994: 124), Healey (2009: 110) mengistilahkan stereotaip sebagai kenyataan-kenyataan umum yang negatif terhadap sesuatu kumpulan etnik. Misalnya gambaran berlebih-lebihan tentang sesuatu perlakuan baik atau buruk yang ditujukan kepada sesuatu kumpulan etnik oleh etnik lain terutama kepada etnik minoriti. Hal ini terhasil apabila berlaku pertembungan dua atau lebih komuniti etnik. Fahaman stereotaip ini akan menimbulkan perasaan yang negatif dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat majmuk di Malaysia. Hal ini kerana fahaman steretoip akan mengakibatkan sesuatu kumpulan etnik itu memandang rendah terhadap kumpulan etnik lain dan seterusnya membataskan interaksi antara etnik dan menimbulkan semangat perkauman yang menebal. Walau bagaimanapun tidak dapat dinafikan bahawa setiap kumpulan etnik akan memiliki pandangan stereotaip mereka terhadap kumpulan etnik lain. Misalnya pandangan masyarakat Barat terhadap kumpulan-kumpulan etnik di Malaysia. Begitu juga etnik Melayu mempunyai gambaran stereotaip terhadap etnik Cina dan India dan sebaliknya.
Seterusnya Healey (2009) melihat kesan stereotaip yang boleh berlaku berterusan dari satu generasi ke generasi yang akan menjejaskan hubungan antara kumpulan dominan dan minoriti. Kandungan stereotaip juga yang sebenarnya antara yang dominan dan kumpulan-kumpulan minoriti dan sering salah satu cara penting di mana kumpulan dominan cuba untuk membenarkan atau merasionalisasi hubungan itu. Simpson dan Yinger (1985) pula telah membahagikan stereotaip kepada dua bentuk. Pertamanya dengan memberi sifat rendah yang melampau seperti pemalas dan tidak cerdik kepada kumpulan minoriti. Sifat ini cenderung berlaku semasa institusi perhambaan masih berlaku di mana kumpulan minoriti menjadi sering dieksploitasi oleh kumpulan dominan. Keduanya stereotaip turut berlaku apabila kuasa dan perbezaan status kumpulan minoriti dengan kumpulan dominan semakin rapat . Kumpulan minoriti juga telah mengalami mobiliti ke atas dan memiliki beberapa kejayaan sama ada di sekolah atau perniagaan. Kejayaan relatif mereka tetap dipandang negatif sehingga muncul ungkapan-ungkapan seperti ’terlalu pintar’, ’terlalu materialistik’ , ’terlalu licik’ dan sebagainya.
Soal membentuk perpaduan kaum di negara ini diakui memang sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan kerana ia terhasil akibat latar sejarah. Begitu juga dengan soal kewujudan sekolah vernakular yang menjadikan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantara.  Ia sudah wujud sejak sekian lama hasil tolak ansur dan kesepakatan antara kaum dengan memberikan kebebasan kepada kaum Cina dan India untuk mengangkat bahasa dan budaya mereka tetapi dalam masa yang sama memastikan kewujudannya tidak bercanggah dengan sistem dan dasar pendidikan negara.
Baru-baru ini isu tersebut kembali timbul ekoran keputusan pilihan raya umum yang menyaksikan berlakunya penolakan besar-besaran pengundi Cina terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak. Ada yang menganggap kewujudan sekolah jenis kebangsaan terutama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang semakin berkembang dan menjadi pilihan utama masyarakat Cina, hanya meluaskan lagi jurang perkauman sekali gus menyukarkan usaha kerajaan untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Dalam majlis ‘Wacana Post Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah’ hujung minggu lalu, Pro-Canselor Universiti Tekonologi Mara (UiTM), Tan Sri Abdul Rahman Arshad mencetuskan semula isu yang kontroversi dan boleh meniupkan api perkauman ini jika tidak ditanggani dengan betul. Malah bagi mereka yang tidak faham maksud dan tujuan sebenar serta tidak berfikir secara rasional,  akan menganggap kenyataan beliau itu berbau perkauman dan ada unsur-unsur hasutan.
Beliau dilaporkan berkata bahawa sekolah vernakular merupakan batu penghalang kepada perpaduan dan keputusan PRU-13 lalu jelas menunjukkan tidak ada perpaduan di Malaysia apabila jurang perkauman menjadi semakin melebar. Walaupun kenyataan beliau itu dikecam oleh banyak pihak dan disifatkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang sebagai satu hasutan, kenyataan Rahman Arshad yang mahukan sekolah vernakular dimansuhkan, perlu dilihat daripada persepktif yang lebih luas tanpa dipengaruhi oleh sentimen apatah lagi untuk tujuan atau kepentingan politik mana-mana pihak (Irfan, 2013).
Daripada satu sudut apa yang beliau katakan itu ada kebenarannya. Beliau memberikan contoh bahawa sekolah vernakular di negara ini berkembang lebih maju dan hanya sekitar 20 peratus sahaja pelajar bukan Melayu memilih belajar di sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya sebagai bahasa penghantar.
Menurut beliau apabila majoriti kaum Cina menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah Cina, secara tidak langsung ia akan melebarkan lagi jurang antara kaum sekali gus menyukarkan usaha untuk memupuk perpaduan dan menanam sikap saling hormat menghormati dan memahami antara satu sama lain dengan lebih dekat. Dan pemisahan kaum ini menjadi semakin melebar apabila sebahagiannya terus memilih untuk meneruskan pengajian di peringkat sekolah menengah swasta yang menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa penghantar.

Beliau turut mengambil contoh sistem pendidikan di banyak negara termasuk di Indonesia, Thailand dan Filipina yang telah menerima pakai penggunaan bahasa tunggal dalam dasar pendidikan mereka untuk mengukuhkan perpaduan. Malah di Singapura yang majoritinya Cina juga tidak mengangkat sistem pendidikan Cina sebagai sistem pendidikan utama sebaliknya menjadikan sistem pendidikan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya untuk memupuk perpaduan masyarakat berbilang kaumnya (Irfan, 2013).