Monday 14 November 2016

MENGAPA PERLU ADANYA PENGASINGAN KUASA KERAJAAN?

2.1 Mengelakkan pertindihan bidang kuasa iaitu pihak yang sama tidak terlibat dalam pengurusan lebih daripada satu kuasa.
            Secara logiknya, dalam konsep pemerintahan sesebuah negara terdapat badan-badan tertentu bertanggungjawab melaksanakan hal-hal berkaitan bidangnya sahaja. Tidak mampu, malah akan menyebabkan timbulnya kelemahan tertentu dalam pentadbiran sesuatu badan sekiranya mempunyai bidang kuasa yang terlalu banyak. Contohnya badan Eksekutif tidak boleh mencampuri bidang yang diuruskan oleh badan perundangan ini adalah kerana badan perundangan bertanggungjawab dalam pembentukan sistem undang-undang negara manakala badan Eksekutif menguruskan hal-hal berkaitan dengan pentadbiran di peringkat persekutuan atau negeri dengan erti kata lain mempunyai bidang kuasa memerintah sahaja.
Dalam badan Eksekutif juga terdapat pembahagian kuasa antara pentadbiran di peringkat persekutuan dan negeri. Sekiranya tidak berlaku pengasingan kuasa antara kedua-dua pentadbiran ini, mana mungkin kerajaan dapat menjalankan pentadbiran sesebuah negeri kerana tidak semua negeri diperintah oleh parti kerajaan, terdapat juga parti pembangkang yang menang dalam pilihanraya di peringkat negeri akan memerintah negeri tersebut. contohnya kerajaan negeri Kedah yang diperintah oleh Parti Islam Semalaysia (PAS) setelah menang dalam pilihanraya umum 2008, parti yang memerintah ini boleh merancang dasar untuk negeri tersebut asalkan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
            Sekiranya badan-badan ini diletakkan dibawah satu pengurusan kemungkinan akan berlaku masalah-masalah tertentu yang melibatkan kepentingan di sebelah pihak sahaja. Malaysia diperintah oleh parti yang menang majoriti selepas pilihan raya, badan eksekutif di peringkat persekutuan dan negeri tidak boleh mencampuri urusan badan perundangan dan kehakiman, bidang-bidang ini memerlukan kepakaran ahli-ahli dalam memastikan setiap undang-undang yang digubal dan dilasanakan berkesan. Badan eksekutif hanya berkemampuan dalam memutuskan dan merumuskan dasar serta memastikan agensi, jabatan yang dikhaskan melaksanakan tanggungjawab dalam bidang masing-masing.
            Begitu juga dengan Badan Kehakiman yang hanya bertanggungjawab dalam soal memberi keadilan, menyemak undang-undang, memastikan undang-undang tidak bercanggah dengan perlembagaan persekutuan dan boleh membatalkan tindakan parti pemerintah yang bercanggah dengan perlembagaan persekutuan atau negeri. Badan ini tidak boleh sama sekali disatukan kuasanya dengan badan eksekutif, tetapi ianya sedikit sebanyak berkait rapat dengan badan perundangan.
  2.2 Mengelakkan penyalahgunaan kuasa akibat pemusatan kuasa pada sesebuah badan tertentu.
            Sekiranya kuasa pentadbiran badan Eksekutif, Legislatif dan Judisiari dipusatkan dalam satu badan sajaha kemungkinan akan berlaku penyelewengan atau penyalahgunaan sehingga boleh menyebabkan undang-undang hanya memihak dan menguntungkan pihak pemerintah disamping kemungkinan akan berlakunya penindasan terhadap rakyat. Contohnya dalam badan Eksekutif, kuasa Perdana Menteri atau kabinet merangka dasar kerajaan serta memberikan arahan kepada jentera pentadbiran kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri selain memberi nasihat kepada YDPA serta membincangkan masalah-masalah semasa yang wujud dalam pemerintahan manakala bagi Legislatif adalah kuasa bagi parlimen dalam proses penggubalan undang-undang yang mana melibatkan Jabatan Peguam Negara, sekiranya Perdana Menteri atau menteri-menteri yang berkuasa dalam proses penggubalan undang-undang semestinya akan berlaku masalah seperti penyalahgunaan kuasa yang boleh merosakkan institusi pentadbiran negara kita.
            Begitu juga dengan badan Kehakiman yang mana perlantikan hakim-hakim mahkamah persekutuan atau mahkamah tinggi dilantik oleh YDPA dengan nasihat Perdana Menteri atas nasihat Majlis Raja-Raja namun Perdana Menteri perlu meminta fikiran Ketua Hakim Negara. Jesteru itu, hakim-hakim ini hanya bertanggungjawab untuk berlaku adil dalam perbicaraan di mahkamah. Selain itu, terdapat Etika Hakim 1994 bertujuan memastikan hakim-hakim berkelakuan jujur dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas-tugasnya. (Mohd Syariefudin Abdullah, Mohamad Kamal Kamaruddin, Ahmad Sohaimi Lazim, 2009). Dengan ini, Doktrin Pengasingan Kuasa dapat mengurangkan masalah-masalah seperti penyalahgunaan kuasa kerana Eksekutif tidak mempunyai kuasa dalam badan Legislatif begitu juga dengan badan Judisiari.

2.3 Membolehkan setiap badan bertindak tanpa diganggu atau dipengaruhi oleh badan yang lain. Secara tidak langsung membolehkan setiap badan berfungsi dengan lebih efisyen.
            Keberkesanan dalam pembahagian kuasa-kuasa pentadbiran berlandaskan Doktrin Pengasingan Kuasa secara tak langsung dapat memudahkan badan-badan seperti Eksekutif, Legislatif dan Judisiari menjalankan tanggungjawab masing-masing. Selain itu, tidak akan berlaku campur tangan secara langsung dalam bidang kuasa antara satu sama lain disamping dapat mengukuhkan pemerintahan negara dengan dasar-dasar yang dilaksanakan di setiap peringkat badan-badan berkenaan. Badan Pemerintah iaitu Eksekutif sama ada di peringkat persekutuan atau negeri mempunyai bidang kuasa memerintah, badan ini bertanggungjawab menjalankan urusan-urusan pemerintahan dan pentadbiran dan tidak melibatkan diri dalam urusan dan hal ehwal kehakiman mahupun perundangan. Bab ini mempunyai penjawat-penjawat awam yang tertentu di kedua-dua peringkat iaitu persekutuan dan negeri. Selain itu badan ini hanya berperanan melaksanakan undang-undang yang telah diluluskan oleh Badan Perundangan sama ada oleh Parlimen (di peringkat persekutuan) atau Dewan Undangan Negeri (di peringkat negeri). (Mohd Syariefudin Abdullah, Mohamad Kamal Kamaruddin, Ahmad Sohaimi Lazim, 2009).
            Legislatif pula hanya berfungsi menggubal, meminda dan meluluskan undang-undang. Undang-undang dan peraturan ini akan dijadikan panduan badan Eksekutif sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri untuk menjalankan pentadbiran negara. Bagi badan Kehakiman atau Judisiari pula, hanya bertanggungjawab dalam soal kehakiman yang mana hanya berperanan sebagai pelindung hak-hak asasi manusia daripada sebarang pencabulan sama ada oleh orang perseorangan atau pihak kerajaan. (Mohd Syariefudin Abdullah, Mohamad Kamal Kamaruddin, Ahmad Sohaimi Lazim, 2009). Bagi menjamin badan Eksekutif tidak menyalahgunakan kuasa dengan menggubal undang-undang sesuka hati, dengan ini telah menjadi tanggungjawab Badan Kehakiman mengawasi supaya undang-undang tersebut tidak bertentangan dengan peruntukan dalam bahagian 6 bab 1 Perlembagaan Persekutuan.

            Bidang kuasa yang berlainan antara ketiga-tiga badan ini menjalankan kuasa pentadbirannya dengan cekap dan berkesan sekiranya tidak berlaku campurtangan badan lain khususnya antara badan Eksekutif dan badan kehakiman dalam pentadbiran sesebuah negara. 

3 comments: