Saturday 18 January 2020

Kesatuan Sekerja : Pengenalan dan latar belakang


Majikan dan pekerja merupakan elemen terpenting di dalam sesebuah organisasi bagi memastikan organisasi mencapai matlamat utama mereka. Kerjasama yang baik di antara pihak pengurusan dengan para pekerja adalah salah satu tindakan yang membolehkan organisasi mentadbir dan merangka strategi organisasi untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Hubungan antara pihak pengurusan atau “…majikan ini dengan para pekerja dalam persekitaran kerja ini boleh dikatakan sebagai perhubungan perindustrian” seperti mana yang telah dinyatakan di dalam Kertas Kerja Pengurusan Sumber Kemanusiaan (MTT 2703) (_____, n.d.).
Amir Hamzah Abdul dan Saadon Awang (2009: 2) menyatakan bahawa “…hubungan industri juga melibatkan interaksi di antara majikan dan pihak pekerja di dalam sistem hubungan khusus untuk membincangkan tentang hubungan antara majikan dan pekerja, berbincang mengenai pekerjaan dan faedah-faedah pekerjaan di tempat kerja”. Hubungan industri didefinisikan oleh Maimunah Aminuddin sebagai “…bidang kajian yang tidak dapat dipisahkan daripada penglibatan kesatuan sekerja”, (Amir Hamzah Abdul dan Saadon Awang, 2009: 3-4). Hubungan industri juga dikenali sebagai perhubungan perusahaan di mana ia merujuk kepada “…perhubungan di antara pekerja dengan majikan serta faktor, masalah dan isu yang mempengaruhi perhubungan tersebut dalam organisasi”, (Zafir Mohd Makhbul dan Fazilah Mohamad Hasun, 2011: 278).
Perhubungan perusahaan yang diamalkan di Malaysia adalah “…merujuk kepada hubungan antara majikan, pekerja yang diwakili oleh kesatuan dan pihak kerajaan”, (Zafir Mohd Makhbul dan Fazilah Mohamad Hasun, 2011: 279).
Kesatuan sekerja didefinisikan oleh K. Rajkumar (2001: 137) sebagai “…manamana persatuan atau gabungan kakitangan atau majikan dalam sesuatu pertubuhan, perniagaan, pekerjaan atau industri tertentu, atau dalam sesuatu perniagaan, pekerjaan atau industri yang sama; sama ada secara sementara atau tetap”. Selain itu juga, kesatuan sekerja menurut K. Rajkumar (2001: 137-138), mempunyai satu atau lebih daripada perkara berikut:
i.                    Peraturan dalam hubungan di antara kakitangan dan majikan;
ii.                  Peraturan dalam hubungan di antara kakitangan dan kakitangan, atau di antara majikan dengan majikan;
iii.                Pengaduan oleh sama ada kakitangan atau majikan dalam pertikaian kerja;
iv.                Kaitan dengan pertikaian kerja atau perkara berkaitan;
v.                  Sokongan, penubuhan atau pembiayaan mogok dan pembekuan dalam mana-mana perniagaan atau industri atau peruntukan gaji atau imbuhan-imbuhan lain untuk ahli-ahlinya semasa mogok atau pembekuan berkenaan.
Selain itu, kesatuan sekerja di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959 ditafsirkan sebagai “…apa-apa pertubuhan atau gabungan orang-orang kerja atau majikan-majikan, iaitu orang-orang kerja di mana tempat pekerjaan mereka adalah di Malaysia Barat, Sabah atau Sarawak, mengikut mana yang berkenaan, atau majikan-majikan yang mengambil kerja orang-orang kerja di Malaysia Barat, Sabah atau Sarawak, mengikut mana yang berkenaan:
a) dalam mana-mana penubuhan, tred, pekerjaan atau industri yang tertentu atau dalam apa-apa tred, pekerjaan atau industri yang serupa; dan
b) sama ada secara sementara atau tetap; dan c) yang mempunyai di antara tujuan-tujuannya satu atau lebih daripada tujuan-tujuan yang berikut:
i. peraturan perhubungan di antara orang-orang kerja dengan majikan-majikan, bagi maksud menggalakkan perhubungan perusahaan yang baik dan harmoni di antara orang-orang kerja dan majikan-majikan, memperbaiki syarat-syarat pekerjaan orang-orang kerja atau memperbaiki status ekonomi dan sosial mereka, atau meningkatkan produktiviti; ia. peraturan perhubungan di antara orang-orang kerja dan orangorang kerja, atau di antara majikan-majikan dan majikan-majikan;
ii. perwakilan sama ada orang-orang kerja atau majikan-majikan dalam pertikaian-pertikaian tred; a. menjalankan, atau menguruskan dengan, pertikaian-pertikaian tred dan perkara-perkara yang berhubungan dengannya; atau
iii. menggalakkan atau mengaturkan atau membiayai mogok atau tutup-pintu dalam mana-mana tred atau industri atau peruntukan gaji atau faedah-faedah lain bagi ahli-ahlinya semasa suatu mogok atau tutup-pintu; (International Law Book Services, 2011: 7-8)
Kesatuan sekerja menurut Zafir Mohd Makhbul dan Fazilah Mohamad Hasun (2011: 282) adalah “…bentuk pertubuhan yang bertujuan untuk menjaga kebajikan dan memperbaiki kualiti pekerja dalam organisasi”. Snell dan Bohlander pula mentafsirkan kesatuan sekerja sebagai “…pertubuhan yang mewakili pekerja yang berkemahiran, separuh mahir dan tidak mahir berhubung dengan isu-isu pekerjaan”, (Zafir Mohd Makhbul dan Fazilah Mohamad Hasun, 2011: 282).
Kesatuan sekerja juga didefinisikan sebagai “…satu persatuan pekerja yang bekerjasama untuk memperbaiki keadaan kerja mereka” seperti yang dinyatakan oleh Maimunah Aminuddin (Zafir Mohd Makhbul dan Fazilah Mohamad Hasun, 2011: 282).  Umumnya, objektif penubuhan sesebuah kesatuan sekerja adalah
1.      untuk melindungi ahli-ahlinya dari segi keselamatan dan meningkatkan status ekonomi dan standard kehidupan.
2.      untuk menjamin keselamatan ahli-ahli kesan daripada ancaman yang terhasil daripada perubahan teknologi, keadaan pasaran yang tidak menentu dan keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan.
3.      untuk mempertingkatkan kebajikan pekerja sama ada ianya ahli kesatuan atau tidak. membantu pekerja mengadakan perundingan dengan pihak majikan
4.      untuk menentukan ahli-ahli kesatuan mendapatkan hak-hak yang sepatutnya diperolehi dengan penuh keadilan. (Zafir Mohd Makhbul dan Fazilah Mohamad Hasun, 2011: 283).

Kesatuan sekerja menurut Amir Hamzah Abdul dan Saadon Awang (2009:2) “…boleh mewakili kedua-dua pihak dalam sistem hubungan industri, iaitu kesatuan sekerja pekerja dan kesatuan sekerja majikan”. Pekerja dan majikan di Malaysia adalah “…bebas menubuhkan pertubuhan mengikut:
1.      Artikel 10(1) (c) Perlembagaan Malaysia
2.      Konvensyen ILO No.98
3.      Seksyen 8 dan 9 Akta Kesatuan Sekerja 1959
4.      Sesebuah Kesatuan sekerja perlu didaftarkan bagi membolehkannya menikmati keistimewaan sebagai sebuah kesatuan sekerja yang sah (Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, 2011).

Monday 14 November 2016

MENGAPA PERLU ADANYA PENGASINGAN KUASA KERAJAAN?

2.1 Mengelakkan pertindihan bidang kuasa iaitu pihak yang sama tidak terlibat dalam pengurusan lebih daripada satu kuasa.
            Secara logiknya, dalam konsep pemerintahan sesebuah negara terdapat badan-badan tertentu bertanggungjawab melaksanakan hal-hal berkaitan bidangnya sahaja. Tidak mampu, malah akan menyebabkan timbulnya kelemahan tertentu dalam pentadbiran sesuatu badan sekiranya mempunyai bidang kuasa yang terlalu banyak. Contohnya badan Eksekutif tidak boleh mencampuri bidang yang diuruskan oleh badan perundangan ini adalah kerana badan perundangan bertanggungjawab dalam pembentukan sistem undang-undang negara manakala badan Eksekutif menguruskan hal-hal berkaitan dengan pentadbiran di peringkat persekutuan atau negeri dengan erti kata lain mempunyai bidang kuasa memerintah sahaja.
Dalam badan Eksekutif juga terdapat pembahagian kuasa antara pentadbiran di peringkat persekutuan dan negeri. Sekiranya tidak berlaku pengasingan kuasa antara kedua-dua pentadbiran ini, mana mungkin kerajaan dapat menjalankan pentadbiran sesebuah negeri kerana tidak semua negeri diperintah oleh parti kerajaan, terdapat juga parti pembangkang yang menang dalam pilihanraya di peringkat negeri akan memerintah negeri tersebut. contohnya kerajaan negeri Kedah yang diperintah oleh Parti Islam Semalaysia (PAS) setelah menang dalam pilihanraya umum 2008, parti yang memerintah ini boleh merancang dasar untuk negeri tersebut asalkan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
            Sekiranya badan-badan ini diletakkan dibawah satu pengurusan kemungkinan akan berlaku masalah-masalah tertentu yang melibatkan kepentingan di sebelah pihak sahaja. Malaysia diperintah oleh parti yang menang majoriti selepas pilihan raya, badan eksekutif di peringkat persekutuan dan negeri tidak boleh mencampuri urusan badan perundangan dan kehakiman, bidang-bidang ini memerlukan kepakaran ahli-ahli dalam memastikan setiap undang-undang yang digubal dan dilasanakan berkesan. Badan eksekutif hanya berkemampuan dalam memutuskan dan merumuskan dasar serta memastikan agensi, jabatan yang dikhaskan melaksanakan tanggungjawab dalam bidang masing-masing.
            Begitu juga dengan Badan Kehakiman yang hanya bertanggungjawab dalam soal memberi keadilan, menyemak undang-undang, memastikan undang-undang tidak bercanggah dengan perlembagaan persekutuan dan boleh membatalkan tindakan parti pemerintah yang bercanggah dengan perlembagaan persekutuan atau negeri. Badan ini tidak boleh sama sekali disatukan kuasanya dengan badan eksekutif, tetapi ianya sedikit sebanyak berkait rapat dengan badan perundangan.
  2.2 Mengelakkan penyalahgunaan kuasa akibat pemusatan kuasa pada sesebuah badan tertentu.
            Sekiranya kuasa pentadbiran badan Eksekutif, Legislatif dan Judisiari dipusatkan dalam satu badan sajaha kemungkinan akan berlaku penyelewengan atau penyalahgunaan sehingga boleh menyebabkan undang-undang hanya memihak dan menguntungkan pihak pemerintah disamping kemungkinan akan berlakunya penindasan terhadap rakyat. Contohnya dalam badan Eksekutif, kuasa Perdana Menteri atau kabinet merangka dasar kerajaan serta memberikan arahan kepada jentera pentadbiran kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri selain memberi nasihat kepada YDPA serta membincangkan masalah-masalah semasa yang wujud dalam pemerintahan manakala bagi Legislatif adalah kuasa bagi parlimen dalam proses penggubalan undang-undang yang mana melibatkan Jabatan Peguam Negara, sekiranya Perdana Menteri atau menteri-menteri yang berkuasa dalam proses penggubalan undang-undang semestinya akan berlaku masalah seperti penyalahgunaan kuasa yang boleh merosakkan institusi pentadbiran negara kita.
            Begitu juga dengan badan Kehakiman yang mana perlantikan hakim-hakim mahkamah persekutuan atau mahkamah tinggi dilantik oleh YDPA dengan nasihat Perdana Menteri atas nasihat Majlis Raja-Raja namun Perdana Menteri perlu meminta fikiran Ketua Hakim Negara. Jesteru itu, hakim-hakim ini hanya bertanggungjawab untuk berlaku adil dalam perbicaraan di mahkamah. Selain itu, terdapat Etika Hakim 1994 bertujuan memastikan hakim-hakim berkelakuan jujur dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas-tugasnya. (Mohd Syariefudin Abdullah, Mohamad Kamal Kamaruddin, Ahmad Sohaimi Lazim, 2009). Dengan ini, Doktrin Pengasingan Kuasa dapat mengurangkan masalah-masalah seperti penyalahgunaan kuasa kerana Eksekutif tidak mempunyai kuasa dalam badan Legislatif begitu juga dengan badan Judisiari.

2.3 Membolehkan setiap badan bertindak tanpa diganggu atau dipengaruhi oleh badan yang lain. Secara tidak langsung membolehkan setiap badan berfungsi dengan lebih efisyen.
            Keberkesanan dalam pembahagian kuasa-kuasa pentadbiran berlandaskan Doktrin Pengasingan Kuasa secara tak langsung dapat memudahkan badan-badan seperti Eksekutif, Legislatif dan Judisiari menjalankan tanggungjawab masing-masing. Selain itu, tidak akan berlaku campur tangan secara langsung dalam bidang kuasa antara satu sama lain disamping dapat mengukuhkan pemerintahan negara dengan dasar-dasar yang dilaksanakan di setiap peringkat badan-badan berkenaan. Badan Pemerintah iaitu Eksekutif sama ada di peringkat persekutuan atau negeri mempunyai bidang kuasa memerintah, badan ini bertanggungjawab menjalankan urusan-urusan pemerintahan dan pentadbiran dan tidak melibatkan diri dalam urusan dan hal ehwal kehakiman mahupun perundangan. Bab ini mempunyai penjawat-penjawat awam yang tertentu di kedua-dua peringkat iaitu persekutuan dan negeri. Selain itu badan ini hanya berperanan melaksanakan undang-undang yang telah diluluskan oleh Badan Perundangan sama ada oleh Parlimen (di peringkat persekutuan) atau Dewan Undangan Negeri (di peringkat negeri). (Mohd Syariefudin Abdullah, Mohamad Kamal Kamaruddin, Ahmad Sohaimi Lazim, 2009).
            Legislatif pula hanya berfungsi menggubal, meminda dan meluluskan undang-undang. Undang-undang dan peraturan ini akan dijadikan panduan badan Eksekutif sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri untuk menjalankan pentadbiran negara. Bagi badan Kehakiman atau Judisiari pula, hanya bertanggungjawab dalam soal kehakiman yang mana hanya berperanan sebagai pelindung hak-hak asasi manusia daripada sebarang pencabulan sama ada oleh orang perseorangan atau pihak kerajaan. (Mohd Syariefudin Abdullah, Mohamad Kamal Kamaruddin, Ahmad Sohaimi Lazim, 2009). Bagi menjamin badan Eksekutif tidak menyalahgunakan kuasa dengan menggubal undang-undang sesuka hati, dengan ini telah menjadi tanggungjawab Badan Kehakiman mengawasi supaya undang-undang tersebut tidak bertentangan dengan peruntukan dalam bahagian 6 bab 1 Perlembagaan Persekutuan.

            Bidang kuasa yang berlainan antara ketiga-tiga badan ini menjalankan kuasa pentadbirannya dengan cekap dan berkesan sekiranya tidak berlaku campurtangan badan lain khususnya antara badan Eksekutif dan badan kehakiman dalam pentadbiran sesebuah negara. 

DOKTRIN PENGASINGAN KUASA : PENGENALAN

Pembahagian Kuasa atau dalam bahasa Inggeris dipanggil "Separation of Powers" merupakan satu doktrin dalam pemerintahan demokrasi yang membahagikan urusan dalam negara kepada tiga cabang utama : Pemerintah (Eksekutif), Perundangan (Legislatif) dan Kehakiman.
            Ia untuk mengelak atau menghindari bahaya “kezaliman” (tyranny), di mana dikatakan doktrin pembahagian kuasa (atau fungsi) dapat mewujud dan mengekalkan kepimpinan, kebebasan sebenar dan menghindari kemaharajalelaan (despotisma) dengan cara membahagi-bahagikan kuasa untuk mewujudkan semak dan seimbang (check and balance) antara kuasa tersebut.
            Konsep Pembahagian Kuasa (juga lebih dikenali sebagai Konsep Pengasingan Kuasa) bermula sejak zaman Yunani lama. Aristotle berminat dengan kerajaan gabungan berkomposisi monarki, aristokrasi, dan demokrasi, melihatkan setiap elemen secara sendirinya tidak mampu menjalankan operasi kerajaaan secara sendirian, tetapi campuran ketiga-tiga elemen mengambil aspek terbaik dari elemen masing-masing. Pada 1656, James Harrington dalam bukunya Oceana, telah mengemaskinikan idea tersebut dan mencadangkan sistem berdasarkan konsep ini. John Locke, dalam "Civil Government, second treatise" pada 1690, telah membahagikan kuasa kerajaan kepada dua iaitu eksekutif dan legislatif. Manakala, Montesquieu dalam karyanya "Spirit of the Laws" telah mengembangkan idea Locke, dengan menambahkan cabang kehakiman. Dikatakan orang Inggeris mewujudkan kaedah sebenar pembahagian kuasa ini dengan lebih formal, yang mereka gelar sebagai “Instrumen Kerajaan”.
            Di bawah pembahagian kuasa, kerajaan dipecah kepada tiga cabang, iaitu Badan Legislatif atau penggubal undang-undang, Badan Eksekutif atau pentadbir kerajaan berdasarkan undang-undang dan Badan Kehakiman atau pelaksana undang-undang
            Cabang-cabang ini mempunyai peranan yang berbeza tetapi saling bergantung antara satu cabang dengan lain. Misalnya hakim dilantik oleh ketua Eksekutif, manakala undang-undang yang berpunca dari cabang legislatif akan digunakan oleh badan kehakiman untuk membuat keputusan, manakala pihak eksekutif pula akan menguatkuasakan undang-undang tersebut.
            Doktrin ini juga diperteguhkan lagi dengan elemen semak dan seimbang iaitu setiap badan mempunyai kuasa yang terhad dan boleh memeriksa serta menghadkan kuasa badan yang lain. Oleh itu, seorang Hakim walaupun dilantik oleh ketua Eksekutif boleh menjatuhkan hukuman undang-undang kepada ketua eksekutif tersebut kerana badan kehakiman mempunyai kebebasan kehakiman dan para hakim dilindungi oleh kekebalan kehakiman. Sekiranya elemen ini tiada, maka pembahagian kuasa sekadar nama sahaja. Doktrin pembahagian kuasa amat nyata di negara Amerika Syarikat. Di sana setiap badan saling memeriksa penyalahgunaan kuasa satu sama lain. Malah, setiap badan mempunyai elemen semak dan seimbangnya masing-masing. Misalnya polis boleh disoal siasat oleh satu badan bebas yang lain. Disamping itu, badan legislatif di kebanyakan negara adalah dwidewan misalnya di Malaysia yang mempunyai dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Dua dewan ini adalah penting untuk memastikan semak dan seimbang dilaksanakan dalam penggubalan undang-undang.

            Sistem Semak dan Seimbang merupakan satu elemen demokrasi di mana setiap cabang kerajaan diberi kuasa untuk menghadkan cabang kerajaan yang lain. Secara teorinya melalui sistem ini, tiada suatu cabang boleh mempunyai kuasa yang mutlak dalam pentadbiran sesebuah negara. Setiap cabang berkuasa untuk “menyemak” cabang-cabang yang lain untuk memastikan kuasa diagihkan secara seimbang dan samarata diantara ketiga-tiga cabang iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman

Wednesday 20 January 2016

Sekolah Vernakular : Tembok pemisah Perpaduan dan Integrasi


Berdasarkan sejarah, Malaysia adalah sebuah negara yang berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu atau Malay Polity. Perlu diingat, sejarah sistem kenegaraan Melayu bermula dengan perkataan ‘Melayu’ atau ‘Tanah Melayu’ itu sendiri yang bermaksud wilayah dan kepulauan di rantau ini. Nama-nama ini terkenal di kalangan negeri China, India dan Barat seperti Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma-LiYu-R (Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis)  (Suntharalingam & Ismail, 1985).
Kedatangan penjajah British telah merubah peta politik Tanah Melayu. Kalau dahulu, hubungan antara China dan Tanah Melayu hanya melibatkan perdagangan dua hala sahaja, tanpa penghijrahan secara besar-besaran, namun, setelah penjajahan berlaku, maka bermulalah episod kemajmukan masyarakat di negara ini. Ini bermakna, masyarakat majmuk di negara ini bukanlah muncul secara semula jadi seperti didakwa oleh sesetengah pihak. Negara ini ada penghuni asalnya. Sebelum tahun 1910, kemasukan orang asing semakin bertambah tanpa had telah mengejutkan sultan negeri-negeri Melayu Bersekutu. Mereka memaksa British menghalangnya. Tetapi keperluan pekerja yang mendesak dalam bidang perlombongan dan perladangan menjadikan kemasukan mereka tidak boleh dihalang lagi. Setiap tahun ribuan pendatang Cina dan India tiba di Tanah Melayu. Sehingga tahun 1931, apabila bancian dibuat, jumlah orang-orang bukan Melayu telah melebihi bilangan orang-orang Melayu di negeri mereka sendiri (Comber, 2007).
Politik Malaysia sejak dari awal lagi, melalui penjajahan demi penjajahan dan kemasukan imigran, adalah bersifat perkauman (komunalisme). (Dahana, 2002) menyatakan politik komunalisme begitu kaku sehinggakan kehidupan politik dibentuk mengikut garisan etnik. Selain daripada dasar ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan oleh British, sikap lunak orang Melayu terhadap orang lain dan kepandaian orang lain mengekspoitasikan orang Melayu turut menyumbang kepada masalah kaum sehingga ke hari ini. Dengan kebijaksanaan penjajah dan imigran ini juga, negara ini diberikan kemerdekaan dengan bersyarat iaitu mereka mesti sanggup berkongsi kuasa dan ekonomi (Sik, 1995).
Pendidikan formal amat penting dalam proses sosialisasi. Sarjana tempatan, (Rahim, 2007) turut bersependapat bahawa sosialisasi politik ialah bagaimana kita menerima norma dan nilai dan pengalaman politik dalam kehidupan kita. Adakalanya sosialisasi politik dipengaruhi oleh ibu bapa dan ahli keluarga kita dalam bentuk menerima atau menolak sesuatu parti politik.  Pendidikan formal akan membezakan antara orang yang mempunyai ilmu dengan orang yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan. Sekolah berperanan untuk menanamkan kepercayaan politik secara formal melalui perancangan secara sedar dan secara tidak formal melalui pengalaman. Bagi pelajar yang mempunyai perbezaan latar belakang politik dan sosial, sekolah boleh mensosialisasikan mereka semula mengikut kumpulan yang sama sehingga melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi (Langton, 1969). Bagi pandangan Ahmad Fawzi ( 1987), institusi pendidikan merupakan pendekatan yang paling sesuai dan berkesan untuk menghasilkan integrasi nasional pendidikan Kebangsaan dengan jelas menyatakan integrasi nasional adalah matlamat utama sistem pendidikan kebangsaan. Matlamat integrasi melalui pendidikan telah mula difokuskan sejak Laporan Razak 1956.
Dalam membentuk bangsa Malaysia melalui sistem pendidikan dan bahasa pengantar yang sama, pihak kerajaan mestilah berani dalam membuat keputusan berkaitan dengannya. Beliau percaya 90 peratus rakyat akan patuh dan mengikutinya. Untuk membentuk bangsa Malaysia, tidak perlu banyak aliran dalam pendidikan. Satu masa dulu kita ada satu sistem aliran. Satu sistem yang baik. Satu kesalahan besar yang kita buat, ialah tukar sistem, tukar bahasa pengantar di sekolah. Inilah kesilapan besar yang telah berlaku. Beliau memberi contoh negara India. Tidak ada sekolah Tamil. Semua sekolah menggunakan Bahasa Inggeris. Tetapi bahasa Tamil dibenarkan untuk dipelajari. Hasilnya, India telah muncul sebagai negara dunia ketiga hebat, walaupun ia negara yang paling miskin (Abdullah M. R., 2010).
kajian yang dilakukan oleh sekumpulan pensyarah di Universiti Utara Malaysia terhadap pelajar-pelajarnya yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India membuktikan pernyataan di atas. Kebanyakan pelajar-pelajar mempunyai sentimen perkauman yang tinggi. Polarisasi di alam kampus amat membimbangkan. Para pelajar lebih suka bergaul dengan kaum sendiri dalam segala hal. Semua ini berlaku disebabkan oleh proses sosialisasi yang dilalui sebelum memasuki alam kampus (Noor, Azizi, & Lee, 2006).
Integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah daripada segi budaya, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. Manakala, perpaduan pula boleh diertikan sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air (Baharuddin, 2007). Jika digabungkan kedua-dua perkataan ini, integrasi perpaduan bermaksud mewujudkan satu masyarakat bersatu padu dengan satu identiti nasional. Kerjasama ini boleh dibentuk melalui integrasi wilayah, ekonomi, kebudayaan, sosial, pendidikan dan politik. Dalam konteks politik di Malaysia, integrasi dan perpaduan tidak banyak melibatkan unsur-unsur asimilasi tetapi lebih mirip kepada integrasi, akomodasi dan akulturasi (Abdullah M. R., 2010).
Kesan daripada kurangnya integrasi, maka sikap Prejudis dan stereotaip terhadap kumpulan etnik lain akan terus wujud dalam masyarakat Malaysia. Prasangka juga berlaku akibat konflik sosial di antara individu untuk membenarkan penindasan kumpulan minoriti. Mengambil idea Karl Marx (Ashley dan Orenstein, 2001) ,prasangka terhadap kumpulan minoriti boleh difahami sebagai melayani kepentingan kelas kapitalis (bourgeasie) iaitu untuk membolehkan pekerja kumpulan minority menerima baik rendah upah dan keadaan kerja yang buruk. Selain itu pihak kapitalis mewujudkan sikap prasangka sebagai sarana untuk mengawal pekerja sehingga mereka cenderung menjadi terancang . Ini bermakna golongan kelas atasan dapat mempertahankan eksploitasi dan penindasan ke atas kaum bukan kulit putih dalam zaman penjajahan, perhambaan dan imperialisme (Macionis , 1998: 220) Menurut Simpson dan Yinger (1985: 107-108) pula, budaya prejudis adalah bersifat konservatif dan akan berterusan dari masa ke masa seperti juga dengan sikap, nilai-nilai dan keyakinan. Generasi akan datang akan belajar tentang prejudis dengan cara yang sama dan akan menggunakan alasan yang sama bahawa mereka belajar dari pengalaman orang dan budaya sebelumnya. Ini bermaksud kita mengamalkan sikap prejudis dan perkauman melalui warisan budaya dan dilangsungkan pula dengan idea-idea stereotaip dan emosi . Apabila kita sudah beranggapan bahawa prejudis itu merupakan sebahagian daripada warisan budaya, maka seseorang individu akan sentiasa berfikir dan bersikap negatif terhadap kumpulan lain sebagai rutin sosialisasi yang akhirnya sampai ke tahap rasis.
McLemore (1994: 124), Healey (2009: 110) mengistilahkan stereotaip sebagai kenyataan-kenyataan umum yang negatif terhadap sesuatu kumpulan etnik. Misalnya gambaran berlebih-lebihan tentang sesuatu perlakuan baik atau buruk yang ditujukan kepada sesuatu kumpulan etnik oleh etnik lain terutama kepada etnik minoriti. Hal ini terhasil apabila berlaku pertembungan dua atau lebih komuniti etnik. Fahaman stereotaip ini akan menimbulkan perasaan yang negatif dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat majmuk di Malaysia. Hal ini kerana fahaman steretoip akan mengakibatkan sesuatu kumpulan etnik itu memandang rendah terhadap kumpulan etnik lain dan seterusnya membataskan interaksi antara etnik dan menimbulkan semangat perkauman yang menebal. Walau bagaimanapun tidak dapat dinafikan bahawa setiap kumpulan etnik akan memiliki pandangan stereotaip mereka terhadap kumpulan etnik lain. Misalnya pandangan masyarakat Barat terhadap kumpulan-kumpulan etnik di Malaysia. Begitu juga etnik Melayu mempunyai gambaran stereotaip terhadap etnik Cina dan India dan sebaliknya.
Seterusnya Healey (2009) melihat kesan stereotaip yang boleh berlaku berterusan dari satu generasi ke generasi yang akan menjejaskan hubungan antara kumpulan dominan dan minoriti. Kandungan stereotaip juga yang sebenarnya antara yang dominan dan kumpulan-kumpulan minoriti dan sering salah satu cara penting di mana kumpulan dominan cuba untuk membenarkan atau merasionalisasi hubungan itu. Simpson dan Yinger (1985) pula telah membahagikan stereotaip kepada dua bentuk. Pertamanya dengan memberi sifat rendah yang melampau seperti pemalas dan tidak cerdik kepada kumpulan minoriti. Sifat ini cenderung berlaku semasa institusi perhambaan masih berlaku di mana kumpulan minoriti menjadi sering dieksploitasi oleh kumpulan dominan. Keduanya stereotaip turut berlaku apabila kuasa dan perbezaan status kumpulan minoriti dengan kumpulan dominan semakin rapat . Kumpulan minoriti juga telah mengalami mobiliti ke atas dan memiliki beberapa kejayaan sama ada di sekolah atau perniagaan. Kejayaan relatif mereka tetap dipandang negatif sehingga muncul ungkapan-ungkapan seperti ’terlalu pintar’, ’terlalu materialistik’ , ’terlalu licik’ dan sebagainya.
Soal membentuk perpaduan kaum di negara ini diakui memang sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan kerana ia terhasil akibat latar sejarah. Begitu juga dengan soal kewujudan sekolah vernakular yang menjadikan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantara.  Ia sudah wujud sejak sekian lama hasil tolak ansur dan kesepakatan antara kaum dengan memberikan kebebasan kepada kaum Cina dan India untuk mengangkat bahasa dan budaya mereka tetapi dalam masa yang sama memastikan kewujudannya tidak bercanggah dengan sistem dan dasar pendidikan negara.
Baru-baru ini isu tersebut kembali timbul ekoran keputusan pilihan raya umum yang menyaksikan berlakunya penolakan besar-besaran pengundi Cina terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak. Ada yang menganggap kewujudan sekolah jenis kebangsaan terutama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang semakin berkembang dan menjadi pilihan utama masyarakat Cina, hanya meluaskan lagi jurang perkauman sekali gus menyukarkan usaha kerajaan untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Dalam majlis ‘Wacana Post Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah’ hujung minggu lalu, Pro-Canselor Universiti Tekonologi Mara (UiTM), Tan Sri Abdul Rahman Arshad mencetuskan semula isu yang kontroversi dan boleh meniupkan api perkauman ini jika tidak ditanggani dengan betul. Malah bagi mereka yang tidak faham maksud dan tujuan sebenar serta tidak berfikir secara rasional,  akan menganggap kenyataan beliau itu berbau perkauman dan ada unsur-unsur hasutan.
Beliau dilaporkan berkata bahawa sekolah vernakular merupakan batu penghalang kepada perpaduan dan keputusan PRU-13 lalu jelas menunjukkan tidak ada perpaduan di Malaysia apabila jurang perkauman menjadi semakin melebar. Walaupun kenyataan beliau itu dikecam oleh banyak pihak dan disifatkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang sebagai satu hasutan, kenyataan Rahman Arshad yang mahukan sekolah vernakular dimansuhkan, perlu dilihat daripada persepktif yang lebih luas tanpa dipengaruhi oleh sentimen apatah lagi untuk tujuan atau kepentingan politik mana-mana pihak (Irfan, 2013).
Daripada satu sudut apa yang beliau katakan itu ada kebenarannya. Beliau memberikan contoh bahawa sekolah vernakular di negara ini berkembang lebih maju dan hanya sekitar 20 peratus sahaja pelajar bukan Melayu memilih belajar di sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya sebagai bahasa penghantar.
Menurut beliau apabila majoriti kaum Cina menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah Cina, secara tidak langsung ia akan melebarkan lagi jurang antara kaum sekali gus menyukarkan usaha untuk memupuk perpaduan dan menanam sikap saling hormat menghormati dan memahami antara satu sama lain dengan lebih dekat. Dan pemisahan kaum ini menjadi semakin melebar apabila sebahagiannya terus memilih untuk meneruskan pengajian di peringkat sekolah menengah swasta yang menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa penghantar.

Beliau turut mengambil contoh sistem pendidikan di banyak negara termasuk di Indonesia, Thailand dan Filipina yang telah menerima pakai penggunaan bahasa tunggal dalam dasar pendidikan mereka untuk mengukuhkan perpaduan. Malah di Singapura yang majoritinya Cina juga tidak mengangkat sistem pendidikan Cina sebagai sistem pendidikan utama sebaliknya menjadikan sistem pendidikan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya untuk memupuk perpaduan masyarakat berbilang kaumnya (Irfan, 2013).

Thursday 8 October 2015

5 fasa Perubahan Pendidikan Negara

Pendidikan negara menunjukkan perubahan dan peningkatan yang ketara dalam dalam mencapai matlamat pembangunan negara. Perubahan pendidikan negara boleh dibahagikan kepada 5 fasa iatu:
1.    Zaman Pramerdeka (sebelum 1957);
2.    Zaman Pasca Merdeka (1957-1970);
3.    Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990);
4.    Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000); dan
5.    Zaman Dasar Wawasan Negara (2001-2010).
Zaman Pramerdeka (sebelum 1957)
Sebelum negara mencapai kemerdekaan, pendidikan yang wujud adalah terasing, selari dengan corak pemerintahan Pecah-Perintah yang diamalkan penjajah Inggeris. Setiap kaum menubuhkan sekolah mereka iaitu sekolah Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil yang menggunakan bahasa pengantar, kurikulum, buku dan guru masing-masing. Hanya dalam sekolah Inggeris sahaja kanak-kanak pelbagai kaum dapat belajar bersama tetapi sistem persekolahan tersebut tidak dipersetujui oleh majoriti penduduk.[1]
Menjelang kemerdekaan, timbul kesedaran untuk mewujudkan satu sistem persekolahan. Beberapa jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji sistem persekolahan pada masa itu dan menghasilkan laporan-laporan berikut:
a. Laporan Barnes (1951) – menyemak dan memperbaiki keadaan pendidikan kaum Melayu;
b. Laporan Fenn-Wu (1951) – menyemak pendidikan kaum Cina;
c. Ordinan Pelajaran (1952) – mengesyorkan sekolah kebangsaan sebagai corak sistem persekolahan kebangsaan; dan
d. Laporan Razak (1956) – meletakkan asas bagi perkembangan sistem pendidikan untuk memupuk perpaduan melalui Sistem Pelajaran Kebangsaan untuk semua, Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama serta kurikulum kebangsaan, sukatan pelajaran dan sistem peperiksaan yang sama bagi semua sekolah.
Zaman Pasca Merdeka (1957-1970)
Sebaik mencapai kemerdekaan, usaha ditumpukan untuk mewujudkan satu sistem pelajaran kebangsaan. Sehubungan itu, Ordinan Pelajaran 1957 digubal berdasarkan perakuan Laporan Razak (1956) yang mengutamakan perpaduan dan menjadi teras Dasar Pendidikan Kebangsaan. Perakuan Laporan Razak dikaji semula oleh Jawatankuasa Rahman Talib pada tahun 1960. Laporan jawatankuasa ini menjadi asas kepada penggubalan Akta Pelajaran 1961 yang menggariskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pada semua peringkat pendidikan serta penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua pelajar.
Dasar pendemokrasian pendidikan bermula pada tahun 1962 dengan memberi penekanan kepada pendidikan percuma untuk semua pelajar. Dasar ini diperluas dengan mengadakan pendidikan universal selama sembilan tahun apabila peperiksaan pemilihan masuk ke sekolah menengah dihapuskan pada tahun 1964. Penghapusan peperiksaan pemilihan ini menyebabkan peningkatan kadar penyertaan ke sekolah menengah. Kadar ini terus meningkat apabila terdapat perubahan dasar yang melanjutkan pendidikan universal kepada 11 tahun secara berperingkat mulai tahun 1992.[2]
Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990)
Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB, 1970-1990) bermatlamat untuk mengukuhkan perpaduan negara melalui pembasmian kemiskinan di kalangan semua kaum dan penyusunan semula masyarakat. Dalam tempoh ini, pendidikan diberikan keutamaan untuk menangani masalah ketidakseimbangan dalam masyarakat dengan menyediakan peluang pendidikan yang sama untuk semua kaum.
Sistem pendidikan mengalami banyak perubahan, antaranya Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar utama yang dilaksanakan sepenuhnya pada peringkat menengah di Semenanjung Malaysia dan Sabah pada tahun 1982, manakala di Sarawak pada tahun 1990. Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua juga turut diberi tumpuan. Walau bagaimanapun, selaras dengan Akta Pelajaran 1961, sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa Cina atau bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar terus dikekalkan. Mata pelajaran Sivik diperkenalkan bagi menyemai semangat jati diri di kalangan pelajar. Pendidikan Sains dan Teknikal diberi lebih penekanan pada peringkat menengah bagi menghasilkan tenaga kerja mahir.
Pada tahun 1979, semakan semula pelaksanaan dasar pendidikan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979) telah menggariskan cadangan pendekatan dan strategi baru untuk memantapkan sistem pendidikan.
Pada tahun 1980-an, peluang pendidikan untuk warganegara ditingkatkan dengan menambahkan kemudahan fizikal dan infrastruktur terutama di luar bandar. Untuk mengurangkan jurang perbezaan peluang pendidikan antara golongan kaya dengan miskin, program sokongan pendidikan seperti Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Televisyen Pendidikan, Sekolah Berasrama Penuh (SBP), asrama desa dan asrama harian, biasiswa, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan program kesihatan dipertingkatkan. Selain itu juga, usaha merekaraya kurikulum dibuat dan ini menyaksikan lahirnya Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1983 dan diikuti dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah digubal pada tahun 1988 bagi memperteguh hala tuju dan matlamat pendidikan negara. Falsafah ini menekankan pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu bagi membentuk pelajar yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000)
Dekad terakhir abad ke-20 menyaksikan perubahan yang pesat dalam pendidikan negara. Asas perundangan bagi pelaksanaan dasar pendidikan diperkukuhkan melalui penggubalan dan pindaan akta berikut:
1.    Akta Pendidikan 1996 – menggantikan Akta Pelajaran 1961 khususnya peruntukan kuasa-kuasa Menteri Pelajaran dan penginstitusian prasekolah;
2.    Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 – bermatlamat menjadikan Malaysia Pusat Kecemerlangan Pendidikan;
3.    Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 – membolehkan penubuhan sebuah majlis untuk menentukan dasar dan menyelaras pembangunan pendidikan tinggi;
4.    Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara 1996 – menyediakan peruntukan pinjaman pelajar dan skim tabungan bagi meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi;
5.    Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 1996 – memperluas autonomi dalam pengurusan dan kewangan kepada universiti awam bagi menentukan program ke arah kecemerlangan dalam pendidikan;
6.    Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996 – memastikan tahap akademik yang tinggi, jaminan kualiti tinggi dan kawalan mutu pendidikan terpelihara dalam penyediaan pendidikan tinggi swasta;
7.    Akta Institut Teknologi MARA (Pindaan) 2000 – membolehkan ITM dinaiktaraf menjadi universiti; dan
8.    Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (Pindaan) 2000 – membenarkan pinjaman kepada pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Selain itu, banyak lagi perubahan berlaku dalam bidang pendidikan termasuk:
1.    Peningkatan akses dalam pendidikan khususnya peringkat tertiari;
2.    Perkembangan ICT dalam pendidikan termasuk penubuhan Sekolah Bestari pada tahun 1999;
3.    Menaiktarafkan kelayakan guru-guru daripada sijil kepada diploma;
4.    Penubuhan kolej matrikulasi;
5.    Penubuhan kolej komuniti;
6.    Menaiktarafkan Maktab Perguruan Sultan Idris kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); dan
7.    Menaiktarafkan Sekolah Menengah Vokasional kepada Sekolah Menengah Teknik.

Zaman Dasar Wawasan Negara (2001-2010)
Pada abad ke-21, negara menghadapi cabaran baru kesan daripada globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Negara juga menghadapi cabaran untuk membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan atau K-ekonomi. Oleh itu, KPM menyediakan program pembangunan pendidikan yang dapat melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan, celik ICT, berkemahiran dan berakhlak mulia. KPM juga meneliti semula program dan projek yang dirancang bagi penyegaran, pembaharuan, pengukuhan, penyusunan semula dan penggubalan baru. Semua ini adalah hasil perancangan yang terkandung dalam dokumen Pembangunan Pendidikan (2001-2010) KPM.[3]
Dengan mengambil kira pelbagai perubahan dan cabaran alaf ke-21, penambahbaikan dan pemantapan sistem pendidikan diperlihatkan dalam perundangan, dasar dan program utama berikut:
a. Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002) memperuntukkan pendidikan wajib bagi pendidikan rendah yang dilaksanakan secara berperingkat mulai Tahun 1 pada 1 Januari 2003;
b. Program Bimbingan dan Kaunseling diperkukuhkan dengan memperuntukkan seorang kaunselor bagi setiap 500 pelajar mulai tahun 2003 (Keputusan Jemaah Menteri, 2002);
c. Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dilaksanakan pada tahun 2003 (Keputusan Jemaah Menteri, 2002). Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) diperkenalkan pada tahun 2003;
d. Sekolah Pusat, Sekolah Wawasan dan Sekolah Model Khas ditubuhkan dalam Rancangan Malaysia Kelapan(RMKe-8);
e. Pemberian Bantuan One-Off RM120 kepada murid sekolah rendah daripada keluarga miskin pada tahun 2002-2003 bagi pelaksanaan Pendidikan Wajib (Bajet 2002 dan 2003). Bantuan ini digantikan dengan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) mulai 2004 (Keputusan Jemaah Menteri, 2003);
f. Skim Baucar Tuisyen (SBT) memberi bantuan tuisyen kepada murid sekolah rendah Tahun 4 hingga 6 yang miskin dan berpencapaian rendah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik mulai 2004 (Keputusan Jemaah Menteri, 2003);
g. Anugerah Pengetua JUSA C dan Guru Gred Khas C diperkenalkan pada tahun 2005 bagi meningkatkan peluang kenaikan pangkat kepada guru di sekolah (Keputusan Jemaah Menteri, 2004);
h. Mata Pelajaran Vokasional (MPV) diperkenalkan di Sekolah Menengah Harian pada tahun 2004 (Berasaskan Program Sekolah Ke Kerjaya di bawah pembiayaan Bank Dunia, 1998-2003);
i. SPBT diperluaskan kepada anak-anak semua pegawai perkhidmatan pendidikan mulai 2006 (Pengumuman Timbalan Perdana Menteri di Majlis Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan, 2005);
j. Program Pemulihan dimantapkan dengan memperuntukkan guru pemulihan (Keputusan Jemaah Menteri, 2005);
k. Program j-QAF diperkenalkan pada tahun 2005 dan diperluaskan pada tahun 2006 bagi memastikan murid Islam menguasai Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain apabila tamat sekolah rendah (Keputusan Jemaah Menteri, 2003);
l. Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Negeri didaftarkan sebagai sekolah agama bantuan kerajaan mulai 2005 (Keputusan Jawatankuasa Tan Sri Murad Mengenai Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Negeri, 2005);
m. Aktiviti kokurikulum diperbaiki dengan penambahan peruntukan per kapita pelajar daripada RM2.50 kepada RM10.00 untuk sekolah rendah dan RM12.00 untuk sekolah menengah mulai 2006 (Keputusan Jemaah Menteri, 2005). Aktiviti kokurikulum dijadikan syarat kelayakan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam mulai 2006 (Keputusan Jemaah Menteri, 2005);
n. Program Pensiswazahan Guru bagi memenuhi dasar menyediakan 50 peratus guru sekolah rendah dan 100 peratus guru sekolah menengah siswazah terlatih menjelang tahun 2010 dengan memberi kelonggaran guru mengikuti program ijazah melalui pelbagai kaedah termasuk Pendidikan Jarak Jauh;
o. Menaiktarafkan maktab perguruan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) yang boleh menganugerahkan ijazah dilaksanakan mulai tahun 2006 (Keputusan Jemaah Menteri 2005);
p. Perubahan Dasar Sekolah Antarabangsa ke arah menjadikan sekolah antarabangsa di Malaysia berdaya saing di rantau Asia (Keputusan Jemaah Menteri, 2006); dan
q. Kerjasama antara KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) dalam aspek latihan dan keluaran guru, dan menambah baik norma perjawatan daripada 1.5n (n ialah bilangan kelas) kepada 1.7n (Keputusan Jemaah Menteri, 2006).
2.18 Perubahan paling signifikan dalam sejarah perkembangan pendidikan negara ialah penubuhan KPTM pada tahun 2004. Dengan pembahagian ini KPM dipertanggungjawabkan kepada pembangunan pendidikan prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, matrikulasi dan pendidikan guru.[4]



[1] Kementerian Pelajaran Malaysia (2006).Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP 2006-2010), Kuala Lumpur, Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Dasar Pendidikan , Kementerian Pelajaran Malaysia.
[2] Kementerian Pelajaran Malaysia (2006).Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP 2006-2010), Kuala Lumpur, Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Dasar Pendidikan , Kementerian Pelajaran Malaysia.
[3] Kementerian Pelajaran Malaysia (2006).Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP 2006-2010), Kuala Lumpur, Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Dasar Pendidikan , Kementerian Pelajaran Malaysia.
[4] Kementerian Pelajaran Malaysia (2006).Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP 2006-2010), Kuala Lumpur, Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Dasar Pendidikan , Kementerian Pelajaran Malaysia.

Tuesday 6 October 2015

Perkembangan Pendidikan Di Malaysia :Suatu Pengenalan

Pengenalan
Pendidikan merupakan satu keperluan asas bagi setiap lapisan masyarakat bagi mengimbangi diri dengan kemajuan teknologi dan persaingan yang semakin meruncing. Tahap pendidikan yang membantu orang ramai mendapat penghormatan dan pengiktirafan. Pada pendapat saya, ia adalah bahagian penting dalam kehidupan kedua-dua peribadi dan sosial.
Pendidikan memainkan peranan asas kepada masyarakat. kita tidak dapat bayangkan hidup tanpanya . Ia adalah elemen penting dalam pembangunan tamadun masyarakat manusia. Bukan sahaja Ia membantu kita membangunkan persekitaran yang sihat tetapi ia juga menjana masyarakat terlebih dahulu. hakikatnya , segala yang kita buat hari ini adalah berdasarkan kepada pengetahuan yang kita perolehi sepanjang hidup kita dengan cara pendidikan. Ini membantu ahli sains dalam mencipta peralatan dan peranti dan menyebabkan teknologi yang tinggi pada masa kini. Kehidupan akan menjadi lebih maju, oleh itu, pendidikan lebih perlu untuk semua orang.
Hanya dengan adanya pendidikan orang boleh menimba ilmu dan membesarkan pandangan mereka ke atas dunia. Sebagai contoh , pembelajaran dengan menonton TV atau membaca buku-buku memberikan orang sejumlah besar maklumat mengenai apa sahaja yang mereka berminat untuk seperti matematik , berita semasa , kadar pertukaran, budaya negara-negara lain dan sebagainya. Rupa-rupanya, orang boleh menjadi lebih berguna dan bertamadun jika lebih berpendidikan . Di kawasan-kawasan di mana penduduk tidak dapat menerima pendidikan yang sesuai, kehidupan tidak boleh menjadi maju dan makmur berbanding lokasi di mana terdapat satu standard yang tinggi untuk pendidikan

Di atas kesedaran akan kepentingan pendidikan tersebut, kerajaan telah merangka dan melaksanakan pelbagai rancangan dan program bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat. 

Definisi Pendidikan
Menurut tatabahasa Melayu, perkataan pendidikan adalah berasal daripada perkataan didik yang dikategorikan sebagai kata kerja. Perkataan didik dalam bentuk kata kerja ini bermaksud pelihara, menjaga dan ajar. Apabila ia diubah menjadi kata terbitan dengan penambahan awalan pen- dan akhiran –an, ia menjadi pendidikan yang bermaksud perihal mendidik, pengetahuan mendidik, didikan, latihan dan ajaran.[1]
Istilah pendidikan dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai education yang bererti pendidikan atau latihan.[2] Manakala dalam bahasa Arab istilah ini dikenali sebagai tarbiah yang bererti pemeliharaan, asuhan dan didikan.  Ia juga diterjemahkan sebagai ta’lim dan ta’dib. Ketiga-tiga perkataan dalam bahasa Arab itu digunakan dengan membawa maksud yang tersendiri dalam menunjukkan kepada pengertian pendidikan.[3]

Sejarah dan Perkembangan Pendidikan Di Malaysia
Sejarah pendidikan tidak formal negara Malaysia bermula sejak tertubuhnya kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Dalam tempoh beberapa abad, pendidikan di Malaysia telah mengalami perubahan demi perubahan dan setiap perubahan mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Secara amnya, perubahan pendidikan ini mengikut kehendak masyarakat pada masa itu contohnya di zaman Kerajaan Melayu Melaka di mana masyarakat Melayu telah berubah daripada zaman hindu kepada zaman kegemilangan Islam. Zaman pemerintahan Portugis sekitar tahun 1511 sehingga tahun 1641 dan Belanda tidak banyak membawa perubahan terutamanya dalam bidang pendidikan kepada penduduk peribumi sehingga kedatangan Inggeris pada tahun 1786. Inggeris telah memulakan era baru dalam bidang pendidikan kepada anak peribumi waktu itu. Walau bagaimanapun kejayaan tentera Jepun menawan Tanah Melayu pada tahun 1941 dan memerintah sehingga tahun 1945 telah membantutkan perkembangan pendidikan Malaysia. Pada tahun 1946 Tanah Melayu telah diambil alih oleh kerajaan Inggeris sekali lagi, dan Inggeris mula mencorak pendidikan di tanah jajahannya sehingga pada 31 Ogos 1957 apabila negara Tanah Melayu mendapat kemerdekaan daripada penjajah Inggeris.
Selepas Kemerdekaan, Malaysia terus melangkah untuk membina sistem pendidikan negara yang beracuan Malaysia. Misi dan Matlamat dibina untuk mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat, masyarakat yang saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan yang tinggi dan memandang ke hadapan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.[1]
Pendidikan negara menunjukkan perubahan dan peningkatan yang ketara dalam dalam mencapai matlamat pembangunan negara. Perubahan pendidikan negara boleh dibahagikan kepada 5 fasa iatu:
1.    Zaman Pramerdeka (sebelum 1957);
2.    Zaman Pasca Merdeka (1957-1970);
3.    Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990);
4.    Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000); dan
5.    Zaman Dasar Wawasan Negara (2001-2010).


[1] Jamil Ahmad & Norlia Goolamally: Pentadbiran dan Pengurusan Sistem Pendidikan Malaysia,Ke Arah Pendidikan Berkualiti.




[1] Teuku Iskandar (2005), Kamus Dewan, Edisi Keempat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 350.
[2] Hawkins, Joyce M. (2001). Kamus Dwibahasa Oxford Fajar. c. 3. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., hlm. 121.
[3] Hasan Langgulung (1997), Asas-Asas Pendidikan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 5.